KOTA KINABALU : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlarutan seminggu lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi meneliti semula pelaksanaan catuan air dan memberi keutamaan kepada UMS dalam pengagihan bekalan.

“Apabila berlaku peningkatan mendadak dalam penggunaan air, khususnya semasa Hari Raya dan beberapa acara besar, ia memberi kesan langsung kepada bekalan air di UMS.
“Saya telah meminta agar pelaksanaan catuan ini dikaji semula dan UMS diberikan keutamaan kerana pelajar-pelajar kita mula kembali untuk meneruskan sesi pengajian,” katanya di sini semalam.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mustapha menyambut baik saranan Perdana Menteri agar kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikaji semula.

“PTPTN sentiasa mengamalkan pendekatan yang praktikal dan fleksibel dalam menguruskan pinjaman, tanpa bersifat menghukum peminjam.
“Kami menggalakkan peminjam hadir ke pejabat PTPTN terdekat untuk membincangkan semula struktur pinjaman mereka,” jelas Mustapha.
Menurutnya, pihaknya tidak menggunakan pendekatan menghukum, sebaliknya memberi ruang secukupnya untuk mengadakan perbincangan secara terperinci.

“Sehingga kini hanya kira-kira 13 peratus peminjam tidak membuat bayaran langsung, manakala selebihnya tetap membayar walaupun tidak mengikut jadual asal,” katanya.