KOTA KINABALU : Lima kawasan utama sekitar Kota Kinabalu dikenal pasti perlu menjalani pemeriksaan penstrukturan bangunan berusia melebihi 40 tahun.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, lima kawasan terbabit termasuk Segama, Sinsuran, Kampung Air, Bandaraya Berjaya serta bangunan sekitar Gaya Street.
Katanya, setakat ini DBKK mengumpul maklumat berkaitan bangunan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu terutamanya dikawasan dikenal pasti.
“DBKK memberi keutamaan untuk membuat pemeriksaan berikutan ia melibatkan tumpuan orang ramai datang berkunjung ke kawasan tersebut.
“Ini termasuk orang ramai datang ke restoran atau ke beberapa tempat dijadikan sebagai penginapan hotel kecil,” katanya di sini semalam.
Sabin berkata, Jabatan Kawalan Bangunan di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Jabatan Kejuruteraan menghantar surat kepada pemilik bangunan agar memeriksa bangunan.
“Ini berikutan bagi memastikan integriti struktur bangunan dikenal pasti sudah melebihi 40 tahun.
“DBKK sedang mengatur rancangan pemeriksaan berdasarkan usia bangunan tersebut, kita akan memeriksa bangunan yang lebih berumur,” jelas Sabin.