Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan belia tidak pernah goyah – Hajiji

PUTATAN: Kerajaan Negeri tidak akan berundur dalam komitmennya untuk terus menjaga kepentingan golongan belia di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pembangunan belia telah dimasukkan sebagai salah satu tonggak pembangunan negeri dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Belia bukan sekadar penerima manfaat, tetapi juga agen perubahan. Dalam dunia yang penuh cabaran, anak muda mesti menjadi pemimpin keharmonian masyarakat, penjaga warisan budaya serta penyokong kemajuan teknologi,” katanya di sini semalam

Ketua Menteri itu menegaskan, Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai inisiatif untuk golongan belia.

“Kita mesti memahami keperluan mereka dan kita akan terus merangka pelan untuk belia.

“Dari tahun 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif baharu telah diperkenalkan melibatkan peruntukan RM164.14 juta, yang telah memberi manfaat kepada 210,918 pelajar,” katanya.

Beliau berkata, banyak inisiatif telah dilaksanakan termasuk geran belia, latihan kemahiran, selain program inovasi dan keusahawanan bagi memastikan golongan muda Sabah mempunyai platform untuk berkembang.

“Hari ini, penyerahan geran Program Anak Muda berjumlah RM300,000 adalah bukti komitmen kita menyokong idea dan projek yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Gunakan sebaik mungkin geran ini untuk melaksanakan program yang membawa faedah kepada belia di kawasan masing-masing,” katanya.

Geran itu akan diagihkan kepada NGO belia di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat dalam Parlimen Putatan.

Hajiji berkata, pembangunan Sabah tidak akan berjaya sekiranya generasi muda tidak diberikan ruang, peluang dan sokongan kukuh untuk berkarya, berinovasi serta memimpin.

Beliau turut menyeru belia supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang disebarkan oleh pihak pembangkang di media sosial.

Dalam acara sama, Hajiji turut menyaksikan penyerahan warta Tanah Perkuburan Taman Sempelang, Sembulan daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Presiden MUIS, Datuk Yahya Hussin.