KOTA KINABALU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sepanggar, Rafee Jafree menyifatkan kenyataan Pemuda Gagasan Rakyat Darau, Abqaree Fawwaz Abekan berhubung kegagalan Ahli Parlimen Sepanggar menyelesaikan isu air sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Menurut Rafee, masalah bekalan air di Sepanggar adalah isu berpanjangan yang sepenuhnya terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Air Sabah, bukannya bidang kuasa Parlimen.
“Masalah sebenar yang membelenggu rakyat bukan berpunca daripada kegagalan wakil rakyat, sebaliknya kelemahan Kerajaan Negeri yang masih belum mampu menyelesaikan isu asas ini sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau menegaskan, meskipun bukan bidang kuasa Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud tetap mengambil inisiatif membantu penduduk dengan menghantar lori tangki air bersih setiap kali berlaku gangguan bekalan.
Selain itu, Rafee turut menekankan pelbagai usaha lain yang telah dilaksanakan, termasuk penyediaan kelas tuisyen percuma untuk pelajar.
Selain itu projek menaik taraf jalan kampung, membaik pulih kemudahan awam serta bantuan kebajikan disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Adalah tidak wajar menuding jari kepada Ahli Parlimen Sepanggar semata-mata untuk menutup kelemahan pihak lain.
“Kami sebagai anak muda melihat sendiri usaha beliau di lapangan – mana yang dalam bidang kuasa beliau pasti diselesaikan, sama ada segera atau mengambil masa,” katanya.
