KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, menegur kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, yang menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH).
Jasnih merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Dalit menyifatkan kenyataan Mustapha itu sebagai tidak berasas, keterlaluan dan berisiko merosakkan hubungan baik antara rakan gabungan kerajaan.
“Saya tidak pasti apa asas atau motif beliau menuduh GRS sebagai liabiliti kepada PH. Ramai juga kawan saya dalam PKR dan PH, tapi kenyataan seperti ini memang ‘rare’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Beliau turut menasihati Mustapha supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan, agar tidak menampakkan kelemahan sendiri sehingga merosakkan imej sebagai pemimpin.
“Jangan terlalu teruja bila bercakap. Paling penting, jangan sampai jadi perosak. Keyakinan diri yang terlalu tinggi boleh menjurus kepada keangkuhan… dan ingatlah, tiada siapa yang tidak boleh diganti,” tegasnya.
Jasnih turut mengingatkan bahawa sebarang pandangan berbeza sepatutnya dibincangkan secara dalaman melalui saluran parti dan kepimpinan, bukan dilemparkan secara terbuka hingga mencetuskan polemik.
“Kalau itu yang dimaksudkan di hati, bincanglah baik-baik dengan ketua anda. InshaAllah, kalau itu yang terbaik, kita laksanakan,” katanya.
