LABUAN : Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengagihkan sebanyak 750 buah tangki bagi meringankan beban penduduk di 18 kampung yang terkesan gangguan bekalan air yang berpanjangan.
Majlis penyerahan bantuan tangki dengan kapasiti 500 liter itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafi pada Majlis Penyerahan Bantuan Tangki Biru yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun, semalam.
Hadir sama, Ketua Bahagian UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Bashir Alias dan Pengarah Kementerian Kamajuan Desa dan Wilayah Aishah Norodin.
Terdahulu, Mohd Razlan ketika ditemui media berkata, agihan tangki fasa pertama itu merupakan bantuan jangka pendek bagi membantu menyelesaikan permasalahan penduduk kampung yang terlibat dengan masalah gangguan bekalan air yang kritikal.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membekalkan 750 buah tangki yang dikatakan sebagai keperluan mendesak kepada penduduk Labuan.
“Kerajaan telah menjanjikan sebanyak 1000 tangki, bagaimanapun untuk fasa pertama ini kita agihkan sebanyak 750 tangki dan selebihnya 250 tangki akan di bekalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui peruntukan ICU,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rafi berharap bantuan tangki yang telah diusahakan oleh UMNO Bahagian ini akan dapat menyelesaikan masalah rakyat Labuan yang berhadapan dengan gangguan bekalan air secara jangka pendek.
Bagaimanapun Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yakin masalah gangguan bekalan itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh setahun atau dua tahun apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Bajet 2023 baru baru ini telah meluluskan peruntukan RM300 juta untuk menyelesaikan masalah penggantian paip-paip air rosak yang kini sedang giat dilaksanakan.