KOTA KINABALU : Dua graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Hadiah Tun Zaki Tun Azmi pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25.
Jason Liew Wei Ting, 24, berasal dari Kuching Sarawak menerima hadiah tersebut selepas meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95 pada semester akhir pengajian beliau.
“Sokongan yang tidak berbelah bagi daripada keluarga adalah inspirasi utama kepada kejayaan saya hari ini.
“Sokongan dan sikap ramah yang ditunjukkan oleh kawan-kawan saya juga telah mendorong saya untuk menyertai pelbagai kelab di UMS.
“Selain itu, pensyarah juga sering memberi sokongan kepada kami dalam pelbagai aspek,” katanya yang berasa bersyukur dan berbesar hati kerana telah terpilih sebagai penerima hadiah tersebut.
Beliau yang merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik itu turut mengajak para graduan dan pelajar UMS agar sentiasa bijak membahagi masa antara akademik dan aktiviti kokurikulum.
“Selepas ini, saya bercadang untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima Hadiah Tun Zaki Tun Azmi bagi kategori Antarabangsa dari negara Brunei Darussalam, Duratul Mumtazah Eshak, berkata beliau menjadikan disiplin diri sebagai tunjang kepada kejayaannya.
“Saya mengamalkan cara belajar dengan membuat tugasan lebih awal mengikut jadual yang telah ditetapkan supaya saya senang untuk menyusun masa dan menyiapkan tugasan dengan efisien.
“Bagi saya, setiap pelajar tidak harus mudah putus asa. Apapun dugaan yang datang, kita harus cekal menghadapinya,” ujar beliau yang kehilangan ibu pada bulan September 2021 akibat komplikasi Covid-19 dan kanser payudara.
Duratul yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana sekiranya ditawarkan biasiswa pengajian sebelum melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang ekonomi sumber manusia.
“Saya berharap selepas tamat pengajian, saya akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian saya di negara kelahiran saya sendiri,” tambahnya.