KOTA KINABALU: Persatuan Peladang dan Penternak Bumiputera Sabah (Petanah) menyambut baik cadangan pelbagai pihak untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa yang baharu di kawasan Tuaran.
Presiden Petanah Gaibin Ransoi berkata ini kerana Tuaran berada dalam kedudukan strategik iaitu berdekatan dengan ibu negeri Sabah Kota Kinabalu.
Menurutnya daerah Tuaran juga dilalui oleh ramai orang yang menggunakan jalan darat menunju ke bahagian pantai utara Sabah dan menuju ke pantai timur melalui Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan hingga ke Tawau.
“Kita juga melihat cadangan ini daripada segi pelancongan. Taman Kinabalu atau Gunung Kinabalu terletak di Kundasang.
“Begitu juga dengan Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok yang menjadi tarikan pelancong kepada pengunjung ke Sandakan. Oleh itu pihak Petanah menyambut baik dan menyokong cadangan membina LTAKK di Tuaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gaibin berkata demikian bagi mengulas cadangan agar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang baharu ditempatkan di kawasan Tuaran.
Menurutnya lapangan terbang antarabangsa sedia ada di Tanjung Aru, Kota Kinabalu berkemungkinan tidak dapat menampung kehadiran pelancong yang semakin bertambah pada masa depan.
“Tuaran kini semakin maju terutama daripada segi pembangunan perumahan. Tambahan pula Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berasal dari daerah Tuaran yang pastinya boleh membawa daerah Tuaran ke era kecemerlangan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Sabah, Prof Datuk Foo Ngee Kee menyifatkan pemilihan Tuaran sebagai lokasi tambahan bagi pembinaan LTAKK sebagai tepat pada masanya dan mempunyai banyak kelebihan.