Kerosakan Jalan Gum-Gum Sandakan akibat kualiti kerja rendah – Shahelmey

KOTA KINABALU: Faktor tahap kualiti kerja yang rendah dipercayai punca Jalan Gum-Gum, Sandakan, rosak meskipun jalan raya tersebut telah dinaiktaraf seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kerosakan jalan ini sudah diambil maklum oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sekali gus akan dibaiki dalam tempoh terdekat.

Katanya, mengikut rekod jalan tersebut sebelum ini telah melalui kerja pelebaran, namun dilakukan oleh pihak ketiga.

“Bukan disebabkan guna bahan tidak berkualiti, tetapi kemungkinan kualiti kerja yang rendah semasa buat kerja pelebaran itu dilakukan.

“Kerja yang rosak tersebut bukan dibuat oleh kontraktor kerja penyelenggaraan (konsesi) tetapi oleh kontraktor lain yang telah dilantik.

“Jadi perkara tersebut telah diambil maklum oleh pihak JKR yang telah mengarahkan pihak konsesi jalan untuk melakukan kerja pembaikan pada tahun ini juga,” katanya mengikut laporan sebuah portal berita nasional.

Sabah News Today merupakan portal pertama melaporkan kerosakan jalan tersebut sehingga menjadi tumpuan di sosial media.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir juga menggesa agar JKR Sabah mengambil tindakan segera membaiki jalan tersebut.

Shahelmey merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata, pihak JKR daerah sepatutnya memeriksa serta memantau kerja yang telah dilakukan sebelum itu dengan lebih teliti.