FRIM jalin kerjasama dengan Perbadanan Labuan urus hutan bandar dan paya laut

LABUAN: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Perbadanan Labuan menjalinkan kerjasama bagi mewujudkan pengurusan hutan bandar dan hutan paya laut di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ia menerusi satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan FRIM yang diadakan di FRIM Kepong baru-baru ini.

Pada majlis itu Perbadanan Labuan diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rithuan Mohd Ismail manakala FRIM diwakili oleh Pengarahnya Dr Ismail Parlan.

Menurut kenyataan bersama Perbadanan Labuan dan FRIM, kerjasama itu bakal menjadikan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan yang hijau, selamat serta bestari.

Dapat memanfaatkan kepakaran FRIM dalam aspek pemuliharaan kawasan hutan paya laut dan berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan eko pelancongan.

Selain itu, FRIM akan memberikan khidmat kepakaran teknikal dalam pengurusan hutan bandar dan aborikultur termasuk penyelenggaraan pokok emeniti, landskap dan pokok teduhan pinggiran jalan.

Menurut kenyataan itu lagi, Perbadanan Labuan sedaya upaya akan menambah baik aspek pengurusan dan penyelenggaraan

Taman Botanikal Labuan iaitu antara taman botanikal tertua di negara ini yang bukan sahaja menempatkan pelbagai tumbuh-tumbuhan tetapi juga menjadi taman rekreasi bandaran yang boleh dikunjungi oleh pelawat.