Kerajaan Negeri digesa baiki segera kerosakan Jalan Keningau-Kalabakan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri digesa mengambil tindakan segera mengatasi masalah kerosakan jalan Keningau – Kalabakan yang kini mendatangkan kesukaran kepada pengguna kenderaan ringan.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed berkata masalah keperluan asas jalan raya ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri kerana ia melibatkan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Katanya tanpa perhubungan jalan raya yang baik ianya akan menyukarkan kehidupan rakyat secara amnya dalam pelbagai urusan.

“Saya hairan kita sudah berapa lama menghadapi keadaan ini secara berulang, kita ambil maklum kebanyakan jalan-jalan ini sering digunakan oleh jentera-jentera berat seperti lori.

“Dalam asas kejuruteraan sudah tentu ada beberapa zon jalan boleh dipertingkatkan kualiti ketahanannya mengikut kajian awal dari pihak-pihak yang berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan Sabah News Today mengenai rungutan pemandu kenderaan ringan terpaksa menunggu giliran hampir sejam untuk melalui laluan rosak jalan utama Kalabakan-Keningau.

Justeru, beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah meminta Kerajaan Negeri terutama Menteri Kerja Raya Sabah turun padang untuk melihat sendiri kesukaran dihadapi pengguna jalan raya Keningau – Kalabakan.

“Daripada urus tadbir sudah tentu ada jangka hayat proses pembinaan atau pembaikan jalan raya untuk disiapkan..ini semua termaktub dalam surat akur janji syarikat terlibat.

“Jika syarat-syarat dalam akur janji ini tidak dapat diikuti ataupun kurang keupayaan maka syarikat bolehlah diberi amaran atau ditukarkan kepada syarikat yang lebih berkeupayaan dan layak mengikuti ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Jeffrey menambah kalau jalan Raya ini dilalui oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada Kembara Kenali Borneo lepas sudah tentu akan diperbaiki dengan segera.

Tetapi, katanya, beliau juga menerima beberapa laporan yang menyatakan ada beberapa jalan selepas saja laluan digunakan oleh YDPA telah kembali rosak antaranya di Jalan Gum-Gum di Batu 16 Jalan Sandakan.