SEMPORNA: Sekolah Kebangsaan (SK) Sisipan, Pulau Bum-Bum bakal mengharumkan nama negara apabila dipilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Pilot-X (Drone) Peringkat Antarabangsa di Hong Kong, sekali gus membuktikan kemampuan pelajar luar bandar bersaing di pentas dunia.
Bagi membantu persiapan kontinjen sekolah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Akram Abd Rauf menyerahkan sumbangan kepada Guru Besar SK Sisipan, DG Jasmawati Ag Jasni sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan pasukan berkenaan.
Akram berkata, kejayaan itu membuktikan anak-anak luar bandar memiliki potensi besar untuk mencipta kecemerlangan di peringkat antarabangsa sekiranya diberikan peluang, bimbingan serta sokongan yang berterusan.
Menurutnya, penyertaan SK Sisipan bukan sahaja mengangkat nama sekolah, malah menjadi kebanggaan kepada masyarakat Pulau Bum-Bum, Semporna dan seluruh Sabah kerana berjaya membawa nama Malaysia ke pertandingan bertaraf antarabangsa.
“Ini membuktikan lokasi bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Dengan usaha gigih, sokongan guru, ibu bapa dan masyarakat, anak-anak Sabah mampu berdiri sama tinggi dengan peserta dari negara lain,” katanya.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar, khususnya di kawasan luar bandar dan kepulauan, untuk terus menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi dron yang kini berkembang pesat di seluruh dunia.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan bakat generasi muda perlu terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai pelajar Sabah yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negeri dan negara pada masa hadapan.
