KUALA LUMPUR: ‘Kerajaan Perpaduan’ perlu dibentuk di Sabah meskipun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sudah merombak Jemaah Menteri negeri baru-baru ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau masih menyokong usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan di Sabah seperti dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungan ke negeri itu.
Beliau berkata, ini mesti dilakukan bagi menstabilkan keadaan politik di Sabah sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di enam negeri Semenanjung.
“Saya berpendapat, model kerajaan perpaduan yang digunakan untuk Putrajaya harus diubah suai di Sabah mengikut landskap politiknya.
“Saya juga rasa, tempoh bertenang di Sabah perlu ditangani dengan betul,” katanya hari ini.
Mengenai sama ada Umno Sabah akan berdamai berikutan krisis politik itu, Zahid memberi jaminan bahawa semua bahagian negeri itu tetap utuh, tetapi mereka mesti menyelesaikan perbezaan pendirian mereka.
Krisis politik tercetus di Sabah pada 6 Jan selepas Ketua Umno negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa ADUNnya menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri kerana beliau didakwa melanggar syarat perjanjian politik antara mereka selepas PRN Sabah pada 2020.
Bagaimanapun, Hajiji mendakwa beliau masih mempunyai majoriti di DUN dengan sokongan lima daripada 17 ADUN Umno Sabah, dan tujuh daripada Pakatan Harapan Sabah.
Pada Selasa, beliau merombak Jemaah Menteri negeri, menggugurkan Bung Moktar, dan dua lagi pemimpin Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Datuk Yakub Khan.
Jawatan Bung sebagai timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya negeri diberikan kepada salah seorang daripada lima ADUN Umno yang menyokong Hajiji.