KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohd Taib Isai mengumumkan keluar daripada parti itu bersama beberapa pimpinan dan ahli dari pelbagai peringkat.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti serta kecewa dengan hala tuju politik semasa Warisan.
Mohd Taib mendakwa ramai pemimpin akar umbi merasakan pandangan mereka tidak lagi diberi perhatian dan parti semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.
Beliau turut mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah serta menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Mohd Taib turut mendakwa lebih ramai pimpinan dan ahli Warisan dijangka meninggalkan parti dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang pilihan raya negeri akan datang.
