KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menjelaskan bahawa belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung penggunaan logo atau kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan PH Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, laporan Daily Express yang mengaitkan PH Sabah dengan kemungkinan bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menimbulkan kekeliruan.
Menurut beliau, PH Sabah masih dalam proses perbincangan dan belum membuat sebarang ketetapan rasmi mengenai perkara itu.
“Tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa PH Sabah telah memutuskan untuk menggunakan mana-mana logo tertentu pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, segala keputusan akan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
