Keabsahan Hajiji selaku Ketua Menteri meragukan dan perlu diperjelaskan – Norazlinah

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu tampil memberi penjelasan kedudukan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berikutan wujud pelanggaran dalam perkara 6(7) dan 6(3) sejajar dalam peruntukkan Perlembagaan Negeri Sabah.

Ketua Wanita Parti Warisan Malaysia (WARISAN), Norazlinah Arif berkata, ketika ini rakyat sangat keliru apabila Hajiji Noor tidak mewakili mana-mana parti apa lagi tanpa mengetuai sebarang parti politik yang sah.

Katanya, setakat ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya didaftar sebagai sebuah gabungan dan ia bukan parti politik menurut perlembagaan.

“Keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri adalah sangat meragukan serta perlu diperjelaskan secara terperinci secepat mungkin.

“Di peringkat kerajaan sendiri hanya membuat kenyataan penafian semata-mata yang tidak disokong dengan fakta mengikut perlembagaan sekali gus dilihat hanya mengelirukan rakyat di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Norazlinah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak berkata, jika perlembagaan negeri Sabah dalam perkara 6(7) dan 6(3) tidak dipatuhi bagaimanakah hendak memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu ketika mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick baru-baru ini beliau berkata WARISAN komited serta terbukti memberi perhatian kepada perjuangan MA63.

Dalam kenyataan tersebut, Ewon Benedick mengesa agar semua fokus kepada tuntutan melaksanakan Perjanjian MA63 sepatutnya menjadi keutamaan bukan ‘susun-menyusun kerusi’ atau menggulingkan kerajaan di pertengahan penggal.

“Kenyataan Ewon Benedick ini tidak tepat…..Beliau (Ewon) sepatutnya selaku ADUN perlu memahami peruntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

“Perkara ini tidak boleh diremehkan dengan mengambil sikap terpilih dalam mendaulatkan perlembagaan dalam amalan kerajaan, di negeri ini,” katanya.