Kerajaan Negeri hargai komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan bantu rakyat Sabah

KENINGAU: Kerajaan negeri menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan atas usaha berterusan membantu rakyat Sabah menerusi pelbagai peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ia termasuk kelulusan projek pembangunan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau Fasa Dua dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

“Saya juga berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembangunan IPDAS Kampus Kudat Fasa Dua melalui peruntukan RMK-13 supaya ia turut memanfaatkan masyarakat sekitar sejajar usaha memenuhi agenda pendidikan dan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-17 di Dewan Tun Sakaran IPDAS Keningau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata IPDAS perlu turut sama menerokai kerjasama dalam bidang inovasi pendidikan dengan Kerajaan Negeri seiring perkembangan pendidikan tanpa sempadan ketika ini.

Bagi tujuan itu, katanya, pelbagai inisiatif diusahakan Kerajaan Negeri termasuk mewujudkan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC).

“Ia merupakan satu peluang besar untuk IPDAS menerokai ilmu pendigitalan yang digabungkan dengan ilmu teras dalam melahirkan anak bangsa yang berketrampilan dan memenuhi keperluan hari ini,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan anak negeri ini yang diterjemahkan menerusi Inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai salah satu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Jelasnya, penekanan terhadap pembangunan modal insan diambil berat ke arah mewujudkan rakyat yang sihat, berjati diri, berilmu pengetahuan, berinovasi dan berintegriti.

Beliau berkata ini juga selaras dengan matlamat Gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ke arah membentuk sebuah negara yang maju, makmur, bertamadun tinggi, aman dan sentosa.