Penduduk Kampung Beriawa mohon jalan masuk ke kampung disimen sepenuhnya

SANDAKAN : Penduduk Kampung Beriawa Batu 9 di sini masih meletak harapan yang tinggi agar jalan masuk ke kampung mereka dapat disimen sepenuhnya.

Ketika ini, hanya kira-kira 70 peratus jalan kampung itu disimen oleh wakil rakyat pada 2018, dan mereka berharap agar ada tindakan susulan selepas ini.

Seorang penduduk, Ajrin Kasirin berkata, mereka menghargai inisiatif wakil rakyat menyimen jalan masuk ke kampung itu, tetapi ia diibaratkan kerja separuh jalan.

“Isu ini memang sudah lama kami suarakan. Kami berterima kasih sebab ada tindakan diambil. Cuma, kami berharap biarlah sepanjang jalan masuk ini disimen.

“Sekarang ini, ada lebih kurang 300 meter jalan yang tidak bersimen. Keadaan jalan berselang-seli antara jalan simen dan tidak bersimen. Alang-alang juga biar disimen sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, kawasan jalan yang tidak disimen menjadi lebih teruk berlubang dan berlecak apabila hari hujan berikutan kampung itu juga menjadi laluan keluar masuk lori.

Berikutan itu, penduduk terpaksa mengambil insiatif meletakkan batu-batu kecil pada lubang jalan bagi memudahkan kenderaan kecil keluar masuk.

Selain itu, penduduk juga memohon agar pihak berwajib dapat memberi perhatian terhadap beberapa isu di kampung itu seperti lampu jalan yang rosak.

Kampung Beriawa terletak dibawah Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga ketika ini mempunyai lebih 200 penduduk yang menggunakan laluan tersebut.