Undang-undang berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah akan dikaji – Azalina

KOTA KINABALU: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) akan menjalankan kajian undang-undang berkaitan hukuman kesalahan penyalahgunaan dadah dari perspektif yang berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia merujuk kepada keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan perubatan atau secara rehabilitasi.

Katanya, kajian yang dilaksanakan bersama agensi berkaitan itu akan melihat kebolehlaksanaan pendekatan berkenaan di Malaysia memandangkan ia sudah digunakan di banyak negara lain.

“Kerajaan Perpaduan komited untuk memelihara kepentingan golongan-golongan berisiko tinggi dalam perkara ini, seperti golongan terdedah (vulnerable groups), golongan miskin serta golongan belia yang mudah dipengaruhi.

“Sesi Libat urus lanjutan berkaitan perkara ini termasuk perbincangan kumpulan berfokus (focus group discussion) akan dikendalikan oleh YB Timbalan Menteri Undang-Undang (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Sesi Perbincangan Kajian Undang-Undang Berhubung Hukuman Mengenai Kesalahan Penyalahgunaan Dadah bersama wakil daripada Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kesihatan Malaysia, ahli-ahli akademik serta wakil organisasi masyarakat sivil.

Sesi itu, katanya adalah untuk membincang dan mendapatkan pandangan awal mengenai keperluan kajian undang-undang berhubung hukuman kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Walaupun Kementerian Dalam Negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah melakukan usaha yang terbaik dalam menangani isu ini, masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan berkesan.

“Seterusnya, ia menjadi punca kepada isu sistemik lain seperti kesesakan penjara dan sistem keadilan jenayah yang terbeban.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa pendekatan terhadap masalah dadah tersebut perlu dikaji dan dilihat semula selaras dengan perkembangan antarabangsa. 

“Bersempena usaha Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) dalam merangka satu tindakan holistik bagi mengatasi masalah tersebut, BHEUU bersama-sama dengan agensi berkaitan akan menjalankan kajian undang-undang berkaitan hukuman kesalahan penyalahgunaan dadah dari perspektif yang berbeza,” katanya.

Azalina berkata, Kerajaan Perpaduan melihat isu penyalahgunaan dadah bukan sahaja sebagai isu jenayah, tetapi sebagai satu isu kesihatan yang memberikan kesan kepada masyarakat dari segi ekonomi, kesihatan, dan sosial. 

Jelasnya, kerajaan berhasrat untuk menggabungkan usaha semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pakar-pakar, dan masyarakat sivil dalam usaha untuk mencari penyelesaian yang lebih berkesan demi sebuah masyarakat Madani yang sihat dalam semua aspek.