Kerajaan beri peruntukan RM4.66 bil kepada Sabah, RM4.47 bil kepada Sarawak

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri (gambar) telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.66 bilion bagi negeri Sabah, manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.

Katanya, peruntukan ini bakal disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah
Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

“Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama,” kata Ismail Sabri di acara Hari Malaysia diadakan di sini semalam.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri yakin dan percaya bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Openg sentiasa mendengar keluh kesah rakyat, dan kami seupayanya akan mencari jalan penyelesaian.

“Tumpuan kerajaan pada ketika ini adalah untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik.

“Selain itu, infrastruktur dan kemudahan asas turut diberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah,” kata Ismail Sabri.

Ujarnya, Kerajaan memahami keperluan dan kepentingan Keluarga Malaysia terhadap capaian internet berkelajuan tinggi.

Bagi mencapai hasrat ini, tambahnya Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 akan diperluaskan lagi.

“Sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion, dan Sarawak RM4.09 bilion.

“JENDELA menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas, demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

“Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. No one will be left behind, everyone will have access to the digital world, and everyone must be connected,” jamin beliau.

Jelasnya, perkhidmatan ini akan memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah, dan 2.8 juta penduduk di Sarawak.

“Semoga selepas ini, kita tidak lagi mendengar ada Keluarga Malaysia, yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah, untuk mencari capaian internet pada masa akan datang,” katanya.

Mengambil semangat Sambutan Hari Malaysia pada hari ini, Perdana Menteri menyeru agar semua rakyat menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini.

“Sebagai Keluarga Malaysia yang besar, kita harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

“Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.

“Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya,” kata Ismail Sabri.

– BERNAMA