KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai komitmen meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat meneruskan dan menyambung semula pada kadar segera siri rundingan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui platform Majlis Khas MA63 yang telah dirintis di bawah pimpinan mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
“Banyak kemajuan awal telah mula dicapai. Kita berkeyakinan tinggi, di bawah kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Panglima Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna yang lebih besar.
“Berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah, Insya Allah, kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya semasa berucap di acara sambutan Hari Malaysia yang diadakan di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata, Sabah menyokong dan menghargai sepenuhnya inisiatif murni dan kesepakatan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai baru-baru ini.
“Inilah antara komitmen dan peranan di pihak komuniti politik yang telah lama dinanti-nantikan di kala negara berhadapan dengan musibah Covid-19.
“Di peringkat negeri, sejak dari awal para pemimpin GRS telah bersepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan.
“Komitmen kita adalah untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dilancarkan pada 29 Mac 2021. Mandat rakyat perlu ditunaikan sehabis baik, apatah lagi di kala menghadapi kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji juga mengulangi komitmen bahawa selaku Ketua Kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, beliau mengemukakan jaminan bahawa, yakin dan percayalah, suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, sebenarnya bukan hanya berkisar tentang kepentingan negeri semata-mata.
“Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama.
“Dan setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” ujar beliau.
Beliau juga mengajak seluruh rakyat di Sabah untuk terus bersatu atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.
“Saya penuh yakin bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Sabah akan menikmati lebih banyak pembangunan untuk rakyat di semua peringkat,” kata Hajiji.