KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague apabila menolak untuk mengiktiraf ‘Final Award, dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu.
Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, kejayaan itu juga sangat penting bagi Sabah yang selama ini menjadi pertikaian oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu.
Beliau juga berharap, ‘Final Award’ yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang Menuntut dengan jumlah hampir USD15 bilion di Paris akan dibatalkan sepenuhnya susulan daripada keputusan Mahkamah Rayuan The Hague berkenaan.
“Kami di PKDM juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bertungkus-lumus untuk menangani perkara ini.
“Isu tuntutan Sulu telah menghantui kita sejak sekian lama, termasuk peristiwa berdarah yang berlaku di Pantai Timur pada 2013.
“Kami juga berharap dan berdoa agar isu tuntutan oleh pihak yang kononnya waris Kesultanan Sulu akan dinoktahkan selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, hari ini, menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.
Keputusan itu diumum Anwar Ibrahim, yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Laos bermula semalam, sebelum beliau berlepas pulang.
Anwar menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan penting buat kerajaan Malaysia.
Katanya, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.
“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir AS$15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa, dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah,” katanya.