KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague hari ini yang menolak cubaan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu untuk menguatkuasakan Final Award timbang tara terhadap Kerajaan Malaysia membuktikan kumpulan berkenaan tiada locus standi menuntut Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu juga mengukuhkan lagi pendirian kerajaan Sabah bahawa ia tidak mengiktiraf tuntutan pihak terbabit.
“Sabah berkongsi keyakinan dengan Kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya anugerah itu selepas keputusan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Hajiji juga menyatakan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas tindakan tegas dalam melindungi kedaulatan Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan sehingga apa yang dikatakan tuntutan terhadap Sabah oleh pihak Sulu dihapuskan.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague hari ini yang memihak kepada Malaysia dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu selaku Pihak Yang Menuntut dalam kes Sulu.
Katanya, keputusan ini sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.