“Jika Benar Hajiji lemah, Sudah Tentu Tumbang Semasa Langkah Kinabalu,” Kata Muammar

TAMPARULI : Dakwaan kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai pemimpin lemah merupakan satu naratif palsu sekali gus diselubungi dakyah politik songsang serta fitnah murahan.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi berkata, ini bukan sekadar fitnah biasa, sebaliknya merupakan propaganda terancang bagi mengelirukan rakyat yang ikhlas mencari kepimpinan sejati.

Katanya, beliau menggesa rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi yang cuba mencalar imej kepimpinan Hajiji.

“Jika benar Hajiji lemah, sudah pasti beliau tumbang semasa episod politik Langkah Kinabalu.

“Namun realitinya, beliau kekal berdiri teguh sebagai nakhoda agung yang terus memimpin Sabah menghadapi badai pengkhianatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muammar berkata, beliau turut menyindir tindakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menarik sokongan terhadap Hajiji namun akhirnya terperosok dalam kepompong politik yang rapuh.

“Lihat sahaja Shahelmey Yahya, Jasnih Daya, Arshad Bistari dan pemimpin UMNO Sabah yang lain – mereka memilih untuk terus bersama Hajiji.

“Mereka semua tahu serta maklum di mana letaknya kekuatan sebenarnya,” jelas Muammar.

Dalam kenyataan sama, beliau turut membidas Parti Warisan yang masih mempertikai kekuatan Hajiji tetapi gagal menawan semula tampuk pemerintahan negeri.

“Jika benar Hajiji lemah, bukankah Shafie Apdal sudah kembali ke Pejabat Ketua Menteri? Hakikatnya tidak. Yang kekal di puncak ialah Hajiji. Yang terus bekerja untuk rakyat juga Hajiji,” tegas Muammar.