14 Hotel Dikenakan Notis Dikenal Pasti Beroperasi Tanpa Lesen

KOTA KINABALU : Sebanyak 14 Hotel sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dikenakan notis selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata, pihaknya mengeluarkan tawaran notis kepada operator untuk membolehkan mereka mengemukakan permohonan lesen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

“Operasi bermula jam 10.30 pagi, Sabtu lalu mendapati hotel ini gagal mengemukakan lesen perniagaan mereka.

“Kita mengeluarkan tawaran notis ini bagi membolehkan semua hotel berkenaan dapat mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi dilaksanakan ini bagi memastikan semua operator hotel mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Pihak kita akan terus menjalankan operasi pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mengesan hotel yang beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Langkah ini meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan operator-operator hotel di sekitar bandar raya ini,” katanya.