KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan hubungan antarabangsa apabila menandatangani satu Surat Hasrat (LoI) bersama Kolej International Graduates Studies (KIGS), Brunei Darussalam.
Majlis menandatangani LoI disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, serta bersama Pegawai Eksekutif KIGS, Mahrub Awang Murni.
Kasim berkata, kerjasama ini membuka peluang luas untuk UMS memperkukuh jaringan global dan membina sinergi akademik rentas sempadan.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Pegawai Eksekutif KIGS, Mahrub Awang Murni melahirkan harapan tinggi potensi kerjasama dalam membantu ekosistem pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat melalui semua inisiatif yang bakal dilaksanakan.
Menerusi kerjasama strategik ini, kedua-dua institusi bersetuju untuk menawarkan program-program akademik yang menepati keperluan pasaran semasa di Negara Brunei Darussalam.
Selain daripada program-program akademik, UMS melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) dan KIGS juga merancang menawarkan program-program bersifat pembelajaran sepanjang hayat merangkumi kursus-kursus jangka pendek dan profesional.