KOTA KINABALU: Masalah air di Parlimen Sepanggar merupakan adalah tanggungjawab sepenuhnya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, beliau hanya sebagai pemudah cara sekali gus akan membawa isu ini ke parlimen agar kerajaan persekutuan dapat memberi suntikan dana kewangan tambahan untuk membantu kerajaan negeri.
Katanya, ketika dilantik menjadi Ahli Parlimen Sepanggar perkara pertama dilakukan adalah 𝗺𝗲𝗻𝘂𝗻𝗮𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗷𝗮𝗻𝗷𝗶 𝗺𝗮𝗻𝗶𝗳𝗲𝘀𝘁𝗼 untuk membuat perjumpaan bersama JANS.
“Saya sudah mendengar sendiri taklimat itu dengan ingin mengetahui punca masalah air bagi memudahkan sekali gus menyampaikan solusi menyelesaikan masalah air ini kepada JANS.
“Sehingga ke harini, saya masih menunggu agar penyelesaian jangka masa panjang khususnya masalah air di Parlimen Sepanggar itu dapat dilaksanakan secepat mungkin JANS .
“Namun jika hanya menunggu tanpa mengambil tindakan yang drastik, saya rasa ramai penduduk akan lebih terkesan dengan masalah air yang berlarutan sejak sekian lama di Sepanggar ini,” katanya dalam laman Facebook rasminya hari ini.
Mustapha berkata, pada masa ini Parlimen Sepanggar menggunakan kaedah penyelesaian sementara dengan menggerakkan jentera tangki air dari pembekal air swasta yang dibayar sepenuhnya oleh pejabat parlimen.
“Ini bagi menyalurkan bantuan air secara percuma kepada penduduk yang terkesan bagi meringankan beban mereka.
“Jika boleh, saya tidak mahu menunjuk-nunjuk di sosial media yang saya memberi bantuan air ini secara percuma di facebook.
“Jauh sekali untuk minta dipuji. Tapi bila kita tidak tunjuk, saya dituduh tidak memberi bantuan air sampai ada yang menghina saya bersama keluarga.
“Ini termasuk memaki dan mengeluarkan pelbagai macam-mcam lagi sampai ada ahli keluarga saya takut dan trauma untuk membuka facebook,” katanya.
Mustapha berkata, beliau juga sudah mengadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi berusaha mencari dana tambahan bagi mengatasi masalah air di Parlimen Sepanggar.
“Apa saja yang diperlukan akan diberi Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu serta masalah dihadapi rakyat terutama sekali berkaitan dengan masalah air, jalan raya, sekolah daif, dan macam-macam lagi.
“Insya-Allah, saya akan cuba untuk memberi bantuan sehabis mungkin. Saya mohon maaf di atas kekurangan diri dan juga mohon maaf sekiranya ada permintaan yang belum saya tunaikan. Doakan semoga usaha ini berterusan dan mendapat Rahmatnya,” katanya.