KOTA KINABALU: Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), telah menganjurkan Public Talk Siri 1 yang bertemakan “Strategi Malaysia dalam Perkembangan Kerjaya Generasi Muda” yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Mustapha Sakmud.
Pada program tersebut, Mustapha berkongsi kepada para peserta berkenaan hala tuju Malaysia dalam menyokong pembangunan anak-anak muda terutamanya yang berada di universiti.
“UMS adalah sebuah universiti awam terbesar yang terletak di Sabah dan ramai graduan yang dihasilkan saban tahun. Oleh itu, penyediaan peluang kerjaya di Sabah adalah amat penting bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.
“Dengan adanya polisi-polisi kerajaan yang menyokong pewujudan pasaran kerja di Malaysia terutamanya di Sabah, anak-anak Sabah akan mempunyai peluang kerjaya dan masa depan yang cerah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian bersama kira-kira 500 peserta program yang telah menyertai secara bersemuka di Galeri Majlis UMS serta secara langsung di platform facebook laman rasmi UMS.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Mansor berkata penganjuran program seumpama itu dapat melahirkan golongan belia yang lebih peka terhadap perubahan persekitaran yang dinamik selari dengan kepesatan kemajuan teknologi dan digital.
“Program sebegini dapat membantu pelajar membuka mata dalam menghadapi cabaran dan belajar bagaimana menanganinya secara holistik bagi memperkasa peranan dan keupayaan seorang mahasiswa khususnya sebagai belia masa depan negara.
“Berikutan situasi yang kian mencabar, saya yakin pihak kerajaan sentiasa peka dengan persekitaran semasa dan telah merangka pelbagai inisiatif dan program yang mampu membantu perkembangan kerjaya belia Malaysia,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya. Dr. Raman Noordin.
Manakala Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau dalam ucapan aluannya berkata, pencapaian akademik cemerlang bukan satu indikator tunggal untuk pelajar ketika berada di peringkat pengajian tinggi.
“Perkembangan pelajar perlu dilihat secara menyeluruh meliputi faktor luaran seperti keadaan ekonomi dan politik semasa,” katanya.
Tambahnya, penganjuran program seperti itu dirangka bagi mendedahkan pelbagai isu yang bakal dihadapi oleh pelajar selepas bergraduat.
“Selain dapat membantu dalam menentukan hala tuju kerjaya seorang pelajar selepas melangkah keluar menuju alam pekerjaan, program ini merupakan salah satu platform yang baik bagi perkongsian maklumat dan komunikasi secara terus,” katanya.