Rayuan teliti semula persempadanan baharu Papar – Armizan

PAPAR: Kerajaan negeri perlu meneliti berkaitan semula persempadanan baharu daerah Papar berikutan wujudnya Daerah Membakut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata penelitian semula itu bagi membolehkan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapat manfaat daripada kutipan hasil terutama di kawasan yang dibangunkan oleh Patroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Persempadanan hanya melibatkan beberapa kawasan di sempadan di antara kedua-dua yang menjadi…dua-dua Pejabat Daerah menghendaki kawasan tersebut mengambil kira kawasan itu telah membawa hasil yang cukup besar yang selama ini kepada Daerah Papar.

“Jadi, kita merayu kalau boleh dilihat semula persempadanan itu dibahagi-bahagikan kawasan itu supaya kedua-dua daerah PBT akan mempunyai perkongsian juga manfaat daripada kutipan hasil di kawasan pembangunan yang dilaksanakan oleh Petronas.

“Kawasan tersebut yang merupakan lubuk kepada hasil kutipan sebelum ini dipindahkan ke kawasan Membakut, walaupun selama ini pembangunan di kawasan itu telah dilaksanakan dengan sepenuh kerja keras melalui pentadbiran Pejabat dan Majlis Daerah Papar.

“Sebelum ini, Majlis Daerah Papar dan Pejabat Daerah Papar merayu mengusulkan supaya persempadanan yang diluluskan sekarang ini tidak sebegitu rupa.

“Namun, difahamkan ada wakil rakyat dari Papar yang secara sendiri mengemukakan persetujuan beliau yang tidak bertepatan dengan cadangan yang dikemukakan oleh Pejabat dan Majlis Daerah Papar.

“Akhirnya kerajaan negeri bersetuju dengan persempadanan itu kerana mengambil kira antaranya persetujuan daripada wakil rakyat berkenaan,” jelasnya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menegaskan beliau tidak berhasrat untuk menghalang penubuhan Majlis Daerah Membakut, sebaliknya amat mengalu-alukan usaha mewujudkan sistem penyampaian yang lebih baik kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau bimbang berkaitan status dan kedudukan Majlis Daerah Papar yang akan terkesan akibat persempadanan baharu tersebut.

“Difahamkan bahawa persempadanan itu telahpun dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah Membakut juga telah mula beroperasi.

“Dalam kita mengalu-alukan keputusan kerajaan tersebut yang kita lihat boleh memantapkan lagi pelaksanaan pentadbiran kerajaan di peringkat akar umbi, kita juga mengemukakan sedikit kebimbangan khususnya persempadanan yang melibatkan PBT iaitu majlis daerah.

“Kita sedikit bimbang dengan status dan kedudukan PBT iaitu Majlis Daerah Papar apabila persempadanan dilaksanakan kerana kutipan hasil bukanlah tinggi masih pada kadar sederhana.

“Kita khuatir tentang Majlis Daerah Papar khususnya dari segi bagaimana ia dapat self-sufficient untuk menjalankan operasinya kalau diwujudkan Majlis Daerah Membakut.

“Majlis Daerah memerlukan sebahagian besar seharusnya ditanggung oleh kutipan hasil. Kita melihat sekiranya pelaksanaan Majlis Daerah Papar dipecah dua pada masa kini, kita khuatir ketidakcukupan hasil untuk memastikan kedua-dua PBT ini  dapat beroperasi,” katanya di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita dalam Majlis Warna Warni Aidilfitri Pejabat Daerah Bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan di sini, beliau turut merayu kerajaan negeri agar menangguhkan penubuhan Majlis Daerah Membakut sehingga masa yang sesuai.

“Yang kedua, kita ingin merayu supaya penubuhan Majlis Daerah Membakut itu dapat ditangguh terlebih dahulu melalui perancangan yang teliti sehingga suatu ketika.

“Pelaksanaan untuk mewujudkan Majlis Daerah Membakut itu perlu ditangguh terlebih dahulu sehingga masa yang sesuai untuk kita pastikan apabila diwujudkan kelak kedua-dua PBT mempunyai hasil yang mencukupi untuk operasinya.

“Apabila kita merasa kutipan hasil kedua-dua PBT mencukupi untuk mereka beroperasi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat tanpa dana tambahan daripada kerajaan untuk operasi belanja mengurus…itu yang penting.

“Sebab bagi saya, yang utama sekarang ini kekangan sumber kerajaan yang terhad itu perlu diutamakan kepada belanja pembangunan.