TAWAU: Kerajaan menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan terutamanya golongan B40, ibu tunggal, wanita, belia serta golongan bumiputera di negeri ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, tumpuan khusus diberikan agensi kerajaan dalam menyediakan pelbagai sokongan dan platform dalam pelaksanaan program.
Katanya, ini termasuk insentif pembiayaan serta latihan keusahawanan bagi menarik minat mereka agar terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan.
“Keusahawanan adalah untuk semua dan ia tidak hanya terhad kepada sesetengah individu tertentu sahaja.
“Saya percaya bahawa kebanyakan daripada kita sudah mengetahui tentang kepentingan bidang keusahawanan sebagai antara strategi penting untuk menambahbaik kualiti hidup rakyat dengan menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.
“Jurang pendapatan antara rakyat akan dapat dikecilkan dengan aktiviti keusahawanan melalui penjanaan pendapatan serta pewujudan peluang pekerjaan baharu seterusnya merangsang pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya di sini hari ini.
Andi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, kerajaan komited dalam membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan.
Mengulas mengenai program sesi libat urus ini merupakan platform terbaik dalam memberikan pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan tentang hala tuju perniagaan mereka.
Ini khususnya mengukuhkan lagi perniagaan, di samping mengiktiraf sumbangan usahawan khususnya di sekitar daerah Tawau dalam pembangunan ekonomi serta membantu merancakkan lagi sosioekonomi masyarakat setempat.
“Program sebegini akan dapat memantapkan lagi pengembangan perniagaan usahawan supaya dapat mengembangkan perniagaan yang lebih besar, berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan di peringkat domestik dan seterusnya di peringkat global,” katanya.