KOTA BELUD: Rakyat perlu menghargai kepelbagaian kaum serta anutan agama yang wujud di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebarang perbuatan yang boleh memecah- belah kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam Malaysia perlu dihentikan.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana memiliki masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
“Kita harus bersyukur sejak sekian lama dan ini dapat kita saksikan melalui perkongsian perayaan dimana pelbagai kaum dan agama turut bersama meraikan sambutan majlis Rumah terbuka Aidilfitri, tahun baru cina dan sebagainya.
“Rakyat Sabah harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di negara-negara lain terutama di negara Amerika Syarikat yang menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan tercetus dalam kalangan penduduk kulit hitam yang tidak puas hati dengan layanan yang oleh sesetengah pihak berkuasa dan pemimpin kulit putih.
“Walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang paling maju sekali dalam dunia pada ketika ini tetapi mereka gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni serta saling hormat- menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Bung Moktar merupakan Pengerusi Barisan Nasional (Sabah) berharap semua pihak dapat melakukan perubahan minda supaya tidak mementingkan diri atau kaum mereka sahaja sekiranya ingin kekal hidup aman dan harmoni.
“Ketepikan sebarang perbezaaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat semua,” katanya.
Bung Moktar menambah dalam konteks sejarah negara Malaysia pula, semua kaum yang ada di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memajukan dan memakmurkan negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
“Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Tiada pihak yang boleh mengaku bahawa hanya diri mereka yang memberi sumbangan terhadap kemajuan dan kemakmuran negara. Ini kerana Malaysia tidak mungkin dapat wujud sebagai sebuah negara yang dikenali dunia pada masa kini tanpa sumbangan semua kaum yang ada dalam negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, ADUN Lamag itu menzahirkan sedikit rasa kesal kerana konsep kerajaan perpaduan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi amalan kerajaan negeri hari ini yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik.
“Kerana lebih mementingkan kepentingan dan memperkukuhkan kedudukan politik konsep kerajaan perpaduan di negeri ini diketepikan yang ada hanya kepada dendam politik berpanjangkan yang tidak dapat membantu membangunkan Sabah ke tempat sewajarnya,” katanya.