Zahid Hamidi Dijangka Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Sabah 4 Mei – Suhaimi

KOTA KINABALU: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO Karamunsing 4 Mei ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata, majlis bermula dari Jam 10 pagi sehingga 2.00 petang dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO serta barisan kepimpinan UMNO Sabah.

Katanya, majlis itu juga akan turut dihadiri pemimpin UMNO bahagian ahli-ahli UMNO, pemimpin parti kompenan Barisan Nasional serta pemimpin masyarakat tempatan.

“Pelbagai acara disediakan sempana sambutan tersebut antaranya persembahan hiburan oleh artis-artis tempatan.

“Majlis ini merupakan peluang terbaik bagi rakyat khususnya ahli ahli UMNO mengenali pemimpin di peringkat pusat dan negeri yang sebilangannya muka muka baharu yang terpilih dalam pemilihan UMNO bahagian baru-baru ini.

“Kehadiran rakyat khususnya ahli-ahli UMNO sudah pasti dapat mengeratkan silaturahim bersama pemimpin UMNO pusat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi merupakan Ahli Parlimen Libaran berkata, peluang untuk bermesra dalam majlis rumah terbuka itu boleh dijadikan wadah bagi merapatkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan ahli parti.