Hajiji sambut baik penubuhan parti baharu dilakukan Peter Anthony

KOTA MARUDU: Penubuhan parti baharu tempatan pelbagai kaum dilakukan bekas Naib Presiden Datuk peter dilihat sebagai satu perkembangan baik berikutan langkah itu mesra kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor berkata, bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang pertemuan atau perbincangan lanjut antara beliau bersama Peter Anthony.

Katanya, beliau menyambut baik keputusan itu sekali gus dilihat mampu memperkukukan kedudukan GRS di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15).

“Kita mengamalkan demokrasi dan beliau sudah membuat keputusan mahu menubuhkan parti baharu yang mesra dengan kerajaan GRS.

“Bagi saya, selaku ketua kerajaan GRS, hal ini sesuatu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri, kita berterima kasih kepada Peter Anthony,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,000 dan penyerahan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, sekiranya dipelawa untuk berbincang mengenai perkara ini beliau bersedia untuk mempertimbangkannya sekali gus dilihat memperkukuhkan lagi kedudukan GRS di negeri Sabah.

Sebelum ini, Peter bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengumumkan keluar Warisan pada Disember lalu.

Peter turut memaklumkan bakal menubuhkan sebuah parti tempatan baharu yang mesra kepada kerajaan negeri GRS.