Ketepikan perbezaan politik dan tumpukan pada pembangunan Sabah – Joniston

KIULU: Semua ahli politik di Sabah dari kedua-dua belah pihak perlu menghentikan politiking serta sebaliknya menumpukan usaha bersama untuk membawa pembangunan kepada negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, pergaduhan politik yang berterusan hanya akan mengakibatkan wakil rakyat hilang tumpuan daripada fokus asal masing-masing iaitu menjayakan agenda memajukan rakyat.

Joniston menyerahkan bakal makanan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita mesti mengalihkan perhatian kita kepada rakyat kerana mereka telah menaruh kepercayaan kepada kita (wakil rakyat) untuk membawa perubahan kemajuan yang lebih baik.

“Sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keikhlasan dan keupayaan kita untuk bekerjasama demi menjadikan Negeri Sabah lebih maju dan cergas dari segi ekonomi.

“Kita mungkin mempunyai ideologi politik yang berbeza, tetapi apabila bercakap mengenai membawa perubahan untuk kepentingan rakyat dan negeri, kita semua harus bersama tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya.

Joniston menyerahkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bakul makanan di Kampung Poring di sini semalam.

Joniston Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata kerajaan negeri GRS, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, sentiasa prihatin kepada keperluan rakyat terbukti daripada RM2 juta yang diperuntukkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.

“Kerajaan negeri GRS kukuh dan masih mempunyai baki empat tahun lagi untuk menunaikan mandat yang diberikan rakyat, di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Joniston menasihati penduduk kampung agar tidak leka dan sentiasa mematuhu prosedur operasi standard walaupun jumlah kes COVID-19 di negeri ini semakin berkurangan.