GRS jamin kestabilan politik dan ekonomi Sabah – Dr. Joachim

TELUPID: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menjamin kestabilan politik sekali gus merupakan gabungan lapan parti tempatan memberi fokus kepada pembangunan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kestabilan politik itu menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri sejak GRS mengambil alih tampuk pemerintahan.

Katanya, GRS mesti terus mentadbir Sabah demi kesinambungan kepada peningkatan ekonomi secara menyeluruh.

“PBSmenegaskan bahawa mana-mana penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini akan terus mewakili GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Kita mahu seluruh jentera dan ahli PBS Telupid untuk bersatu hati serta memberikan sokongan padu kepada Ketua Bahagian PBS Telupid merangkap ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum agar terus mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang,” katanya si sini semalam.

Dr Joachim merupakan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, beliau mahu Jonnybone sentiasa lantang bersuara ketika sidang DUN serta komited bekerja demi kesejahteraan rakyat Telupid.

“Maka adalah wajar untuk kita memastikan kemenangan beliau sekali lagi pada PRN Sabah pada kali ini.

“Semua ahli perlu memberikan sokongan padu kepada Jonnybone serta menyumbang kemenangan kepada PBS dan GRS nanti,” jelasnya.