TONGOD : Fasa kedua pembangunan kedai bertingkat di Pekan Baharu Tongod melibatkan enam unit dengan kos hampir RM4 juta akan dimulakan pembinaannya tahun ini.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, projek ini susulan pembinaan enam unit kedai bertingkat fasa pertama yang dimulakan tahun lalu.
“Projek Pekan Baharu Tongod ini merupakan salah satu inisiatif komersial di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah rasmi projek itu,
di sini semalam.
Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, pembinaan fasa pertama kini telah mencapai 50 peratus kemajuan dan dijangka siap sebelum pertengahan tahun hadapan.
Menurutnya, kedua-dua projek komersial itu dilaksanakan oleh LPPB dan kesemua enam unit kedai dalam fasa pertama telah pun habis terjual.
Sementara itu, LPPB turut merancang membina 50 unit rumah teres dua tingkat berdekatan pekan tersebut di bawah Program Rumah Awam Kos Rendah (PAKR).
“Projek ini bertujuan membantu golongan B40 di Tongod memiliki rumah mampu milik. Harga seunit rumah hanya RM47,000 dan permohonan pembelian boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan rumah mampu milik itu dijadual bermula awal tahun hadapan dan menjadi sebahagian daripada program bersepadu di bawah hala tuju SMJ.
Turut hadir pada majlis pecah tanah itu ialah Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemary Ahping dan Pegawai Daerah Tongod, Mohd. Yuseri Yusof.
