Darell nafi sertai PKR, tegaskan kekal bersama WARISAN

KOTA KINABALU – Timbalan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Darell Leiking menafikan satu poster jemputan sidang media yang tular di media sosial kononnya beliau akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu menyifatkan poster berkenaan sebagai palsu dan berniat jahat untuk mencemar nama baiknya menjelang penghujung penggal perkhidmatan.

“Saya tetap ahli WARISAN. Menang atau kalah, kami tidak pernah berganjak daripada prinsip asas iaitu menentang rasuah, berpegang pada keimanan dan yakin mampu membawa Sabah baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Darell berkata, WARISAN sudah lama berdepan pelbagai berita palsu dan fitnah, namun tetap teguh memperjuangkan haluan bersih dan progresif untuk rakyat Sabah.

Beliau turut mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup menyebarkan fitnah demi kepentingan tertentu sehingga boleh mengheret keluarga mereka sendiri menanggung akibat.

“Saya memilih untuk memaafkan, namun berharap mereka kembali ke jalan benar, memilih ajaran agama dengan baik serta menjadi manusia beramal dan beriman,” katanya.