“Saya Nak Ubah Nasib Keluarga”Anak Pemandu Lori DBKK Lakar Kejayaan Masuk UMS

KOTA KINABALU: “Saya nak ubah nasib keluarga.” Itu tekad Norhayati Omar Jaya, 20, anak kepada pemandu lori sisa pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), meskipun dibelenggu kesempitan hidup.

Norhayati, anak ketiga daripada lima beradik, merupakan satu-satunya dalam keluarga yang berjaya menjejak kaki ke menara gading. Mereka sekeluarga tinggal di flat kos rendah Taman Bukit Setia, Sepangar.

Bapanya hanya berpendapatan sederhana sebagai pemandu lori kontrak, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

Ketiadaan simpanan dan sumber tetap menyebabkan mereka bergelut untuk menyediakan keperluan pendaftaran universiti.

“Saya hampir berputus asa bila tengok keadaan kewangan keluarga, tapi bantuan dari UMS dan orang ramai banyak ringankan beban. Saya sangat bersyukur,” kata Norhayati.

Lebih menyentuh hati, bapanya menitiskan air mata sebaik melihat anaknya menerima bantuan kewangan dan barangan asas daripada pihak universiti dan masyarakat.

“Saya tiada harta atau duit banyak, cuma doa. Harapan saya, biarlah anak ini jadi jalan keluar dari kesusahan hidup kami,” luahnya sebak.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin, bantuan seperti ini mungkin kecil nilainya, tetapi besar impaknya kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

“Kami tak mampu bantu semua, tetapi jika satu bantuan boleh buka jalan untuk ubah masa depan seorang pelajar, itu sudah memadai,” katanya.