Warisan jawab tuduhan PKR Sabah isu banjir, konsesi air dan Pan Borneo

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata menafikan tuduhan PKR Sabah yang mengaitkan Parti Warisan dengan isu banjir, konsesi air dan projek Pan Borneo.

Beliau berkata, bantuan banjir tetap digerakkan oleh pimpinan Warisan menggunakan dana peribadi walaupun skala kecil, manakala kerajaan GRS–PH yang mempunyai kuasa dan dana sepatutnya lebih bertanggungjawab.

“Jangan tanya apa pembangkang buat dengan duit sendiri, tetapi tanyalah apa kerajaan buat dengan duit rakyat,” katanya.

Mengenai konsesi air, Sarifuddin menjelaskan keputusan penamatan adalah keputusan Kabinet Negeri yang turut disertai PKR ketika itu. Katanya, kerajaan Warisan sanggup berjuang di mahkamah namun GRS memilih membayar pampasan RM315.2 juta.

“Rakyat tidak lupa skandal rasuah Jabatan Air Sabah. Mengapa isu yang penuh kepincangan ini dijadikan modal politik?” soalnya.

Dalam isu Pan Borneo, beliau menegaskan penamatan Project Delivery Partner (PDP) adalah keputusan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya Persekutuan, bukannya Warisan.

“Dua laporan Ketua Audit Negara membuktikan sistem PDP gagal ikut jadual. Tuduhan PKR Sabah hanya mahu alihkan perhatian daripada kegagalan kerajaan GRS–PH,” katanya.