“Bekas pemimpin Bersatu Sabah tidak kenang budi,”- Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR: Pemuda Bersatu (Armada) menyifatkan bekas pemimpin Bersatu Sabah sebagai tidak mengenang budi serta perjuangan pucuk pimpinan parti itu yang berusaha keras untuk memenangkan mereka di Sabah.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata tindakan wakil rakyat Bersatu keluar parti dengan diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor hanya memikirkan untuk kekal kuasa di Sabah dengan mengenepikan prinsip perjuangan.

“Kekesalan dan kekecewaan Armada Bersatu ini lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera-jentera Armada Bersatu dan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang telah bertungkus lumus memenangkan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“Tindakan Hajiji ini juga dilihat sebagai tidak mengenang segenap kesungguhan dan pengorbanan Muhyiddin Yassin sebagai presiden dan pengerusi PN dan juga Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung parti yang telah sedaya upaya membantu beliau untuk memenangi PRN Sabah dan seterusnya mengangkat beliau sebagai ketua menteri Sabah yang baru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Armada ingin membidas kenyataan dangkal yang dibuat oleh Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang cuba mengaitkan PN sebagai parti yang mempromosi politik ekstremis Islam semata-mata.

“Masidi sebagai seorang tokoh dan pemimpin yang beragama Islam adalah disarankan untuk merujuk semula kepada fasal 6 dalam perlembagaan parti Bersatu dan fasal 5 dalam perlembagaan parti PN,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal yakin keruntuhan Bersatu Sabah ketika ini akan dibina semula dan merakamkan penghargaan kepada mereka yang masih setia.

“Jelas sekali tujuan Bersatu dan PN ditubuhkan, sama sekali tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.

“Kami yakin masih ada sahabat-sahabat seperjuangan Armada di Sabah yang kekal setia bersama Bersatu, terima kasih diucapkan. Kita akan bina semula Bersatu di negeri Sabah,” katanya.