Keselamatan Makanan Penting Jamin Keperluan Rakyat dan Negara: Juhar

KOTA KINABALU: Perubahan iklim yang tidak menentu dan wabak pandemik COVID-19 antara faktor yang mendorong kepada isu keselamatan makanan dalam negara, termasuklah negeri Sabah.

Yang Di-Pertua Negeri Sabah (TYT), Tun Juhar Mahiruddin berkata, sangat penting untuk sesebuah negara itu mampu menghasilkan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sektor pertanian penting bagi menjamin sekuriti makanan dan dijadikan sebagai penjana ekonomi rakyat dan negara.

“Seperti yang kita tahu, Sabah merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli terutamanya dalam sektor tanaman, penternakan dan perikanan.

“Namun, kebergantungan kepada import makanan yang mendorong kepada kenaikan bil import makanan negara pada tahun 2020 sebanyak RM55.4 bilion.

“Ini memberikan impak yang negatif kerana kita masih belum dapat memenuhi permintaan domestik bagi komoditi makanan utama seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan daging,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24 di Dewan Canselor UMS hari ini.

Juhar berkata, pelaksanaan Rangka Tindakan Pertanian Sabah diwujudkan selari dengan Dasar Pertanian Negeri Sabah ke-3 (DPNS3, 2017-2026).

Ini berdasarkan empat prinsip utama, iaitu pengeluaran, inovasi, kelestarian dan pembangunan modal insan.

“Inisiatif UMS menerusi Fakulti Pertanian Lestari (FPL) yang bertekad melahirkan graduan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi sedang membangunkan Program Sarjana Muda Teknologi Pertanian Persis Pintar (Smart Precision Farming) yang akan ditawarkan mulai tahun hadapan.

“Ini secara tidak langsung memberi sumbangan besar dalam bidang pertanian sekali gus menyumbang kepada kestabilan makanan dan mewujudkan jaminan peluang pekerjaan kepada graduan,” katanya.

Dalam pada itu, Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni turut menyampaikan sumbangan ke Tabung Wakaf Tunai Pendidikan UMS sebanyak RM15,000 masing-masing dari Yayasan Nur Jauhar dan sumbangan peribadi TYT sendiri di terima Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Untuk rekod, Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 meraikan seramai 4,298 graduan sepanjang tiga hari bermula 10 hingga 12 Disember 2023.