Jabatan Air Sabah potong 121 sambungan paip haram di Sepanggar

KOTA KINABALU: Sebanyak 121 sambungan paip air menyalahi undang-undang dipotong dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di dua kawasan setinggan sekitar Sepanggar bagi membanteras kegiatan penyambungan paip haram.

Pengarah Jabatan Air  Sabah, Chee Chun Chieh berkata, operasi itu merupakan sebahagian usaha berterusan bagi menangani isu kehilangan air tidak terhasil (NRW) yang memberi kesan kepada sistem bekalan air di Bahagian Kota Kinabalu.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 96 pegawai dan anggota daripada 11 kementerian, jabatan serta agensi penguatkuasaan.

“Sebanyak 121 sambungan paip haram berjaya dipotong sepanjang operasi dijalankan.

“Langkah ini penting bagi memastikan sistem pengagihan air kekal teratur dan hanya dinikmati oleh pengguna yang sah,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, operasi sama akan diteruskan di beberapa lokasi hotspot lain bagi mengekang aktiviti penyambungan paip tanpa kebenaran.