BERSATU Sabah akan dibina semula – Ronald

KOTA KINABALU: BERSATU Sabah akan dibina dan diperkukuhkan semula, susulan tindakan pemimpin negeri, diketuai bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, keluar parti, semalam.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata tindakan Hajiji dan pengikutnya tidak akan menjejaskan parti itu terutama di peringkat akar umbi.

“Terpulang kepada mereka (pemimpin keluar parti) untuk memberikan apa-apa alasan (keluar parti). Ahli parti berhak membuat keputusan mereka sendiri dan untuk pilih platform yang mana.

“BERSATU akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali,” katanya.

Terdahulu Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berserta pemimpin BERSATU Sabah memutuskan untuk meninggalkan parti itu, namun terus kekal di bawah GRS.

GRS, ketika ini terdiri daripada BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Sabah.

Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran bagaimanapun enggan mengulas mengenai status BERSATU dalam GRS.