KOTA KINABALU: Kedudukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor perlu disahkan sama ada mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang kini perlu diuji mengikut perlembagaan negeri.
Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, ini berikutan apabila Hajiji bersama beberapa pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu.
Katanya, Hajiji kini tidak mempunyai parti dan kedudukannya tidak jelas selepas meninggalkan Bersatu sekali gus beliau patut kembali ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk menguji majoritinya.
“Kita juga mencadangkan agar Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menarik balik pelantikan Hajiji dan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyuarakan pendirian mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Darell juga menjelaskan empat Ahli Parlimen yang juga ahli Bersatu Sabah juga perlu mengosongkan kerusi mereka di bawah undang-undang anti-lompat parti, jika mereka keluar parti.
“Mereka ini ialah Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) yang semuanya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Semua mereka adalah merupakan ahli Bersatu, yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan peletakan jawatan mereka melanggar undang-undang anti-lompat parti,” ktanya.
Darell berkata, dalam tempoh sama beliau turut mempersoalkan kedudukan Armizan dan Khairul Firdaus yang masing-masing dilantik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya.
GRS menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.Bagaimanapun, Bersatu yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di Parlimen.
GRS ditubuhkan selepas pilihan raya negeri pada 2020 yang dianggotai Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
GRS dan Barisan Nasional Sabah membentuk kerajaan negeri yang memiliki 38 daripada 73 kerusi DUN, di mana 15 daripadanya dimenangi GRS, BN (14) dan PBS (7).