Tindakan meninggalkan BERSATU ada keputusan sebulat suara – Masidi

KOTA KINABALU: Keputusan pemimpin BERSATU Sabah sebulat suara meninggalkan parti itu adalah demi kepentingan Sabah serta kebaikan Malaysia secara keseluruhannya.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun berkata, GRS akan menyokong mana-mana pemimpin atau gabungan yang komited untuk memelihara cara hidup Malaysia untuk semua orang.

Katanya, atas faktor tersebut GRS mengambil keputusan menyokong penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama-sama dalam kerajaan perpaduan.

“Rakyat Sabah terrori dengan berbilang kaum dan agama hidup harmoni selama berabad-abad, dengan mengatakan mereka mahu terus melindungi warisan budaya dan sosial mereka daripada dicemari dengan nilai bukan dari Sabah.

“Sukar untuk GRS atau, dalam hal ini, ramai rakyat Sabah menerima apa yang kini diketengahkan sebagai ‘Islam politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Masidi berkata, sebagai orang Islam, beliau bangga dengan agamanya namun pada masa sama tidak fikir mana-mana pihak boleh mengaku sebagai wakil tulen agama agung ini.

“Islam adalah agama universal yang inklusif serta menghormati semua kepercayaan dan budaya. Ia adalah agama ihsan dan kemanusiaan yang menghormati hak orang lain termasuk minoriti,” katanya.

Masidi berkata, ramai penduduk Sabah dan Sarawak mempunyai ahli keluarga yang berbeza agama, dengan perkahwinan antara orang yang berlainan agama adalah perkara biasa di kedua-dua negeri.

“Oleh itu, ramai orang di Sabah dan Sarawak tidak dapat dikenalpasti mengikut etnik atau agama mereka.

Awal hari ini, Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, beliau dan pemimpin Bersatu Sabah yang lain akan meninggalkan parti itu. Tambahnya, mereka akan menubuhkan parti tempatan baharu.