KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah drastik bagi melakukan proses pembenihan awan berikutan cuaca panas dan kering yang kini berlarutan di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, ketika ini keadaan cuaca panas mencecah sehingga 40 darjah celsius sekali gus menjejaskan bekalan air sedia ada di beberapa empangan di seluruh negeri ini.
Katanya, laporan terkini Jabatan Air Sabah (JANS) menunjukan takungan empangan air berada pada tahap kritikal serta hanya boleh menampung keperluan pengguna dalam tempoh tiga bulan.
“Sumber air di beberapa daerah menunjukan paras penurunan yang ketara. Gelombang haba yang tinggi boleh memusnahkan tanaman serta ternakan menjejaskan bekalan air penduduk di kawasan luar bandar, ” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masiung merupakan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, beliau mahu agar kerajaan Sabah segera mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan proses pembenihan awan.
“Pada masa ini, keadaan kemarau dan cuaca panas di Sabah sudah pun berlarutan sehingga satu bulan.
METMalaysia turut meramalkan keadan kering serta panas di Sabah akan berterusan sehingga hujung bulan Mei depan.
“Fenomena monson barat daya kali ini agak luar biasa memerlukan kerajaan perlu segera mengambil langkah drastik agar proses pembenihan awan disegerakan dalam tempoh terdekat, jelas Masiung.
Menurutnya, langkah catuan bekalan air kurang disenangi penduduk memandangkan dalam tempoh terdekat umat Islam seluruh negara akan menunaikan ibadah puasa.
“Dalam masa sama, sekolah juga mula dibuka cuaca panas dan kering boleh menyebabkan orang ramai terdedah dengan stroke haba,” tambah Masiung.