GRS mampu menang bergaya di PRN Sabah, akan tangani segera Isu jalan rosak di Sabah – Zulkarnain

KOTA KINABALU : Isu laluan utama jalan raya membabitkan kawasan Ranau, Telupid dan Lahad Datu akan dapat ditangani segera sekali gus menjadikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai masalah menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, meskipun isu ini masih membelenggu rakyat Sabah iaitu membabitkan masalah air dan elektrik ketika ini masih berada dalam kritikal namun kerajaan mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk mengatasi masalah infrastruktur ini dalam tempoh terdekat.

Katanya, G57 akan bekerjasama rapat bersama dua badan bebas untuk menilai prestasi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor termasuk pencapaian kerajaan GRS dan Pakatan Harapan (PH) untuk berbanding dengan pencapaian dua pemimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Bung Moktar.

“Kedua-dua mereka ini beriya-iya ingin mejadi Ketua Menteri Sabah…..Sedangkan prestasi mereka sangat jauh jika dibandingkan dengan prestasi semasa Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mempimpin negeri Sabah. Kita yakin rakyat Sabah secara keseluruhannya sangat berpuas hati terhadap prestasi Hajiji.

“G57 berharap agar kerjasama diantara GRS dan PH dapat dimuktamadkan segera memandangkan undi bagi kawasan suku kaum majoriti Cina dilihat sehingga kini masih cenderung berpihak kepada PH,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zulkarnain berkata, ini jelas dapat dilihat pada tahun 2022 dan 2023, Sabah berjaya membawa masuk pelabur asing bernilai hampir RM20 billion ke Sabah sekali gus mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah bekerja di syarikat terbabit.

“Berdasarkan rekod dibawah kepimpinan Hajiji, Sabah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.175 bilion setakat suku ketiga tahun 2023 dengan merangkumi pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sekali gus menjadikan Sabah negeri ke-5 tertinggi di Malaysia menerima pelabur luar.

“Pada 2022, Sabah berjaya menarik RM11.5 bilion dalam projek pelaburan. Sabah menerima pelaburan dari Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd untuk pembangunan sebuah kilang bersepadu klinker dan simen di daerah Tongod nilai pelaburan berjumlah RM1.11 bilion, bagi fasa pertama pelaburan,” jelas Zulkarnain.

Menurutnya, Sabah jelas sangat ketinggalan 26 bulan kebelakang disebabkan kegagalan Parti Warisan (WARISAN) mengurus tadbir negeri ini dengan baik berdasarkan statistik dari bulan Mei 2018 sehingga Jun 2020 tidak ada satu pun pelabur luar berjaya dibawa masuk ke Sabah.

“Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh menjunam dari 8.2 peratus kepada 0.5 peratus. Masalah pengurusan pembaikan dan pembinaan jalan raya, air dan elektrik gagal diurus dengan baik oleh kerajaan Warisan dahulu.

“Justeru kerajaan GRS dan PH dilihat telah cuba memecut sepantas yang boleh membangunkan negeri Sabah namun misi ini dianggap mustahil dijayakan tanpa sokongan rakyat sokongan oleh rakyat Sabah sendiri,” tambah Zulkarnain.