TAMBUNAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar menjala ikan di Sungai Pagalan, Kampung Nouduh, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Markus @ Marchous Antigang, 74, ditemukan di bawah jambatan gantung Sungai Noudah kira-kira jam 9.42 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada IPD Tambunan pada jam 8 pagi.
Mangsa dipercayai keluar dari rumah pada petang Isnin untuk menjala ikan sebelum gagal pulang ke rumah sehingga mencetuskan kebimbangan ahli keluarga.
Operasi SAR dijalankan bersama beberapa agensi termasuk PDRM, APM, pegawai penjara, bomba komuniti dan penduduk kampung menggunakan teknik water surface search and rescue.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.
