Hajiji tegaskan komitmen perkasa Mahkamah Anak Negeri

TONGOD: Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi pembangunan infrastruktur dan penambahbaikan sistem pentadbiran adat di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beberapa Mahkamah Anak Negeri telah dibina termasuk di Tongod, Putatan, Nabawan, Papar, Tamparuli dan Sook, selain projek baharu yang kini dalam proses tender di Kota Kinabalu dan Paitan.

Menurut beliau, usaha berkenaan membuktikan kerajaan negeri bukan hanya memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan fizikal, malah turut memberi perhatian serius terhadap pengukuhan institusi rakyat demi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

“Usaha memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri perlu diteruskan dengan memastikan bidang kuasanya jelas dan mencukupi selain disokong pegawai berintegriti dan berwibawa.

“Penambahbaikan prosedur yang lebih moden, teratur dan berkesan juga perlu dilaksanakan selaras dengan keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod pada Rabu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menghargai peranan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri serta Ketua Kampung yang menjadi penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, golongan itu memainkan peranan besar dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara terutama di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian kaum, adat dan budaya.

Katanya, semua ketua adat dan warga Mahkamah Anak Negeri juga perlu terus meningkatkan prestasi dalam mengurus serta menyelesaikan pertikaian masyarakat secara lebih cekap dan berkesan.