KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memastikan kehidupan rakyat sentiasa terbela dengan usaha berterusan dalam menyelesaikan isu berkaitan keperluan asas rakyat khususnya elektrik,air, perumahan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, isu ini sudah menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak atau kerajaan pimpinannya sejak September 2020 melaksanakan ikhtiar bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih selesa.

Katanya, pihaknya melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 September tahun lalu sebagai usaha beralih daripada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti gas asli dan bergantung kepada rangkaian sungai di Sabah.
“Permintaan bekalan tenaga elektrik yang semakin meningkat pada masa ini boleh diatasi dengan mempercepatkan pengeluaran hidroelektrik bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pesat di negeri ini.

“Tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomas dan biogas akan melengkapkan lagi kapasiti penghasilan tenaga elektrik di Sabah. Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom dijangka siap 2029, aliran bekalan elektrik akan diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah sekali gus mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil,” katanya.
Hajiji berkata, projek itu akan membantu menyelesaikan kekurangan bekalan air dalam tempoh masa panjang dengan penghasilan 6,000 juta liter air sehari sekali gus akan menjadi ‘game changer’ menjamin kehidupan pada masa akan datang.
“Bagi memastikan bekalan air menjadi lebih stabil, kerajaan meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong 1 dan 2, sebanyak 130 juta liter air sehari hingga 160 juta liter air sehari, yang mampu membekalkan air di kawasan Utara Kota Kinabalu termasuk di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kerajaan meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar kepada 80 juta liter air sehari meliputi kawasan Papar, Kimanis hingga ke Selatan Kota Kinabalu. Projek itu yang bermula 5 bulan lepas dengan kos RM385 juta dijangka siap pada tahun 2026,” jelas Hajiji.